KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang tular mengamuk sambil memegang dua bilah pisau di kawasan lot kedai Damansara Perdana, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung perkara itu kira-kira 7 malam semalam.
Menurut beliau, setibanya di tempat kejadian, polis mendapati lelaki berkenaan berada di tangga bersebelahan premis tersebut sambil memegang dua bilah pisau.
Anggota polis mengambil tindakan segera dengan menghampiri suspek dan mengarahkannya supaya menyerahkan pisau tersebut
Suspek katanya, berjaya ditahan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini dan dibawa ke Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB 1958) kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Shamsudin, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan lelaki berkenaan direman sehingga 7 Mei ini bagi membantu siasatan.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian. -MalaysiaGazette
















