ISKANDAR PUTERI – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencadangkan agar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dinaik taraf sebagai universiti sukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu juga mencadangkan sebuah universiti sukan baharu dibina di Batu Pahat bagi memperkukuh pembangunan atlet di negeri ini.
Cadangan berkenaan dilontarkan ketika sesi soal jawab lisan DUN melibatkan Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah.
Sebelum itu, Mohd Hairi (BN- Larkin) menjawab soalan Datuk Pandak Ahmad (BN- Kota Iskandar) berkenaan cadangan mewujudkan sebuah universiti sukan sebagai hub pembangunan sukan di negeri ini ketika sidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Mohd Hairi menjelaskan penubuhan universiti sukan bukan prasyarat utama dalam merealisasikan aspirasi Johor sebagai Johor Sports Nation, sebaliknya berperanan sebagai pelengkap kepada ekosistem sedia ada.
“Penubuhan universiti sukan ini tertakluk kepada kesediaan ekosistem, keperluan semasa serta kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh, termasuk penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
“Ini penting supaya universiti sukan yang diwujudkan nanti bukan hanya gah sekadar nama, tetapi benar-benar berfungsi sebagai pusat pembangunan atlet berprestasi tinggi yang memberi impak kepada negeri dan juga rantau ini.,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd Hairi berkata, kerajaan negeri kini memberi tumpuan terhadap pengukuhan ekosistem pembangunan sukan secara menyeluruh melalui Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).
Katanya, antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah penubuhan Seksyen Pendidikan an Kerjaya Atlet menerusi Johor Athlete Career and Education (JACE) bertujuan memastikan atlet negeri tidak tercicir dalam aspek pendidikan.
“Melalui JACE, atlet khususnya di bawah program SUKMA dan pembangunan akan terus dibimbing dari segi pendidikan serta perancangan kerjaya selepas bersara daripada sukan,” katanya.
“Melalui JACE juga, MSNJ telah menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi antaranya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), bagi membolehkan atlet lepasan SPM menyambung pengajian secara fleksibel,” katanya.- MalaysiaGazette
















