Aznan ketika menjawab soalan lisan daam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Johor sedang membangunkan ekosistem pembelajaran yang menghubungkan sekolah terus dengan pemain industri dalam Zon Kewangan Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, ini melibatkan Program Anak Angkat Korporat dan Makmal Satelit Industri.

“Syarikat-syarikat multinasional di bawah JS-SEZ akan ‘mengangkat’ sekolah-sekolah terpilih untuk menyediakan fasiliti makmal moden dan mentor pakar menerusi Program Anak Angkat Korporat.

“Makmal Satelit Industri pula mewujudkan ruang pembelajaran di luar bilik darjah yang mana pelajar dapat melihat aplikasi sebenar fizik dan kimia dalam sektor seperti pusat data dan semi konduktor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.

Aznan (BN-Tanjung Surat) menjawab soalan Hasrunizah Hassan (BN-Pulai Sebatang) berkenaan perancangan kerajaan negeri bagi menggalakkan pelajar negeri ini meminati mata pelajaran Sains Tulen bagi persediaan tenaga kerja mahir atau pakar sekali gus memenuhi keperluan Johor menjadi negeri maju dan selari dengan pembangunan JS-SEZ.

Katanya, bagi menjadikan Sains Tulen tidak lagi dianggap ‘subjek yang sukar’, pendekatan pengajaran perlu diubah seperti Latihan Lanjutan Guru dan Modul Sains Gunaan.

Beliau memberitahum, seramai 500 guru pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan menjalani latihan peningkatan kemahiran dalam bidang robotik, kecerdasan buatan (AI) dan pengaturcaraan.

Jelasnya, ini bagi memastikan penyampaian ilmu adalah relevan dengan kehendak industri masa kini.

“Modul Sains Gunaan akan memperkenalkan elemen ‘contextual learning’ di mana teori Biologi atau Kimia dikaitkan secara langsung dengan projek-projek besar di Johor seperti pembangunan tenaga hidrogen dan pertanian pintar,” jelasnya.

Pada masa sama, Aznan meletakkan sasaran untuk mencapai nisbah 60:40 (Sains kepada Sastera) selaras dengan dasar kebangsaan, namun dengan acuan Johor yang menekankan aspek kebolehpasaran dalam JS-SEZ.

Tambahnya, kerajaan negeri yakin dengan kombinasi infrastruktur kelas pertama dan bakat tempatan yang kompeten dalam STEM, Johor akan menjadi nadi ekonomi baharu di rantau Asia Tenggara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast