Gambar hiasan. Foto: Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menahan 15 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia termasuk seorang tekong, dalam satu operasi di perairan di sini awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan migran melalui laluan tidak diwartakan.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin berjaya memintas sebuah bot pancung mencurigakan tanpa nombor pendaftaran kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Pantai Cahaya Negeri.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun berada di atas bot tersebut.

“Kesemua mereka ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan turut menemukan sepucuk pistol jenis Colt yang telah dileraikan bersama lima butir peluru hidup.

Kesemua individu yang ditahan bersama barang rampasan dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Senjata Api 1971.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 bagi tindakan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast