Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki bergambar bersama karya seni bernilai tinggi berhubung pemulihan aset 1MDB pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 MEI 2026.

PUTRAJAYA – Empat lukisan bernilai tinggi yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diserahkan kepada Balai Seni Negara minggu depan bagi tujuan pemuliharaan dan pameran kepada umum.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata, karya seni berkenaan kini ditempatkan sementara di ibu pejabat SPRM dalam keadaan terkawal sebelum dipindahkan secara rasmi.

“Menjelang minggu depan, kami akan menyerahkannya kepada Balai Seni Negara. Keadaan di sini agak tidak teratur kerana kami perlu menjaga suhu dan sebagainya, selain kekurangan kotak serta tenaga kerja,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan karya seni berkaitan pemulihan aset 1MDB di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak Balai Seni Negara akan menentukan masa sesuai untuk mempamerkan lukisan tersebut kepada orang ramai.

“Apabila ia diserahkan, saya serahkan sepenuhnya kepada Ketua Pengarah. Saya fikir ia akan dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat,” katanya.

Tambahnya, karya seni itu wajar dijadikan peringatan kepada skandal 1MDB serta kepentingan akauntabiliti dalam pentadbiran awam.

“Lukisan ini perlu disimpan oleh kerajaan supaya orang ramai boleh melihat dan mengingati sejarah berkaitan 1MDB. Empat lukisan ini adalah tulen,” katanya.

Empat karya berkenaan ialah “Composition (1953)” oleh Joan Miró, “Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre (1934)” oleh Maurice Utrillo, “Étude pour femme couchée (1948)” oleh Balthus serta “L’Ecuyère et les clowns (1961)” oleh Pablo Picasso. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast