KUALA LUMPUR – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendesak pihak polis menyiasat pemimpin UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias didakwa menyentuh sensitiviti serta kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan dalam satu majlis parti politik, pada 2 Mei lalu.
Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, tindakan Jalaluddin yang memaparkan salasilah Institusi Adat di pentas politik boleh menimbulkan kebimbangan terhadap kedudukan Institusi DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai payung negeri.
“Institusi Diraja perlu sentiasa dipelihara daripada sebarang tindakan yang boleh mencemarkan kedudukannya, khususnya dalam konteks Raja Berperlembagaan yang berkecuali daripada pengaruh politik kepartian.
“Perkara ini selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu Megat membuat laporan terhadap Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan kerana membawa krisis Institusi Diraja itu dalam Konvensyen ke-80 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Sabtu lalu.
Megat juga menggesa pihak polis menyiasat Jalaluddin mengikut Akta Hasutan 1948 dan kerana menyentuh isu 3R.
“Jalaluddin mengeluarkan kenyataan menghasut kebencian terhadap institusi Diraja Negeri Sembilan DYMM Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir.
“Jalaluddin menyalahgunakan platform politik untuk kepentingan peribadi dan boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian dalam kalangan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















