Pathmanathan (dua dari kanan) engadakan lawatan tapak pemasangan dua saluran paip di Jelutong hari ini. Gambar ihsan Buletin Mutiara

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan pembinaan dua saluran paip utama baharu bagi meningkatkan kapasiti bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di tanah besar ke Daerah Barat Daya (DBD) di bahagian pulau.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, saluran paip pertama akan menghubungkan LRA Sungai Dua ke lokasi sambungan di Butterworth bagi Projek Paip Berkembar Dasar Laut Pulau Pinang ke-3 (PTSP ke-3) dengan diameter 1.8 meter dan panjang kira-kira 13 kilometer.

Kata beliau, saluran paip kedua pula akan menghubungkan lokasi pendaratan PTSP ke-3 di Macallum ke Kompleks Kolam air dan Rumah Pam Bukit Dumbar di pulau, juga berdiameter 1.8 meter dengan jarak kira-kira 3.9 kilometer.

“Kedua-dua saluran paip ini merupakan komponen Fasa 3 Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) dengan anggaran kos keseluruhan RM416 juta merangkumi kerja pembinaan, pemasangan, pengorekan, pemulihan jalan serta pengambilan tanah.

“Sepanjang tahun lalu penggunaan air di DBD direkodkan sekitar 202 juta liter sehari (JLH) atau 23.2 peratus daripada jumlah penggunaan negeri sebanyak 865 JLH,” katanya hari ini.

Tambah Pathmanathan, menjelang 2030, penggunaan air di kawasan itu dijangka meningkat kepada 301 JLH, iaitu tambahan kira-kira 100 JLH atau 49.8 peratus, dipacu oleh pembangunan industri, hartanah dan Penang Silicon Island.

“Sehubungan itu, projek saluran paip ini dilaksanakan bagi memenuhi peningkatan permintaan tersebut, dengan kerja-kerja Macallum–Bukit Dumbar dijadualkan bermula Mei 2026 dan siap pada Disember 2027.

“Jajaran bagi segmen Sungai Dua–Butterworth masih dalam peringkat pemuktamadan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP),” katanya.

Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, pelaksanaan WCP 2030 bernilai RM2.1 bilion turut melibatkan strategi meningkatkan kapasiti rawatan air, mengoptimumkan sumber air mentah negeri serta mempertingkatkan penghantaran air terawat dari tanah besar ke pulau.

“Fasa 1 WCP 2030 telah siap dilaksanakan dengan peningkatan kapasiti LRA Bukit Panchor sebanyak 10 JLH dan LRA Sungai Dua sebanyak 114 JLH.

“Fasa 2 pula melibatkan pembangunan beberapa LRA baharu termasuk di Empangan Mengkuang Diperbesarkan, Sungai Kerian, Sungai Perai serta LRA Sungai Muda bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber sedia ada.

“Pelaksanaan keseluruhan pelan ini bertujuan memastikan bekalan air mencukupi dan seimbang di Seberang Perai serta pulau sehingga tahun 2030,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast