Pasar malam Jonker Walk

MELAKA – Kegiatan sekumpulan lelaki warga asing dari China yang aktif melakukan jenayah seluk saku di kawasan tumpuan pelancong di bandar ini akhirnya terbongkar apabila lima suspek berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kumpulan dikenali Geng Guangxi itu dikesan menyasarkan pelancong di lokasi sesak termasuk sekitar Jonker Walk.

Bagaimanapun, jelasnya, kegiatan haram kumpulan itu akhirnya terbongkar susulan laporan mangsa, seorang warga China pada 25 April lalu.

“Kes bermula apabila seorang pelancong warga China melaporkan kehilangan beg duit mengandungi wang tunai serta kad kredit ketika berada di kawasan Jonker Walk.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka melancarkan operasi khas dan berjaya menahan dua suspek pada hari sama di sekitar Dataran Pahlawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Christopher, hasil soal siasat lanjut, polis berjaya menahan tiga lagi ahli kumpulan itu di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur pada 29 April lalu.

“Kesemua suspek berusia antara 29 hingga 62 tahun dipercayai bergerak secara berkumpulan dan menjadikan kawasan pelancongan sebagai sasaran utama untuk melakukan jenayah tersebut.

“Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, dua beg silang, dua dompet, kad pengenalan warga asing serta mata wang asing dari beberapa negara.

“Suspek hanya menyasarkan mangsa dalam kalangan pelancong yang mana setakat ini terdapat lima kes dilaporkan membabitkan kerugian kira-kira RM20,000,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast