KUANTAN – Kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang melabel UMNO serta Barisan Nasional (BN) sebagai rakan tidak boleh dipercayai mengundang reaksi tegas daripada kepimpinan Pemuda UMNO.
Exco Pemuda UMNO, Md. Jamil Pauzi menyifatkan kenyataan tersebut sebagai melampau dan mencerminkan sikap ‘abang besar” yang cuba mendominasi serta membuli rakan dalam gabungan politik.
Menurutnya naratif sesebuah parti memilih untuk ‘bergerak solo’ tidak seharusnya diputar belit sebagai pengkhianatan.
“Sebaliknya, ia adalah hak demokrasi dan autonomi mana-mana parti dalam menentukan hala tuju sendiri. Melabel tindakan itu sebagai ‘tikam belakang’ menunjukkan kecalaran logik politik yang dangkal,” katanya kepada MalaysiaGazette
Dalam masa sama, Md. Jamil mengingatkan Guan Eng agar menilai kembali pendirian sendiri sebelum menuding jari.
Katanya, keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan sering terganggu akibat kenyataan provokatif segelintir pemimpin DAP yang menyentuh sensitiviti rakan kerjasama.
Jamil turut menegaskan penyertaan UMNO dalam kerajaan adalah demi kestabilan negara, bukannya untuk menjadi ‘pak turut’ kepada mana-mana pihak.
“Cermin diri sendiri dulu sebelum menuduh UMNO tidak tulus, sedarlah bahawa keharmonian Kerajaan Perpaduan hari ini terganggu akibat provokasi berterusan daripada pemimpin DAP sendiri.
“UMNO ada prinsip dan maruah politik sendiri. Kami bukan alat untuk memenuhi percaturan mana-mana parti,” katanya.
Susulan itu Pemuda UMNO menasihatkan pemimpin DAP itu supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecah-belahkan.
“Jika niat beliau adalah untuk menjaga integriti pentadbiran, mulakan dengan menghormati rakan kerjasama bukan dengan menghina.
“Hentikan retorik yang boleh memecah-belahkan kerjasama sedia ada, sebaliknya mengutamakan sikap saling menghormati demi memastikan pentadbiran negara kekal stabil,” katanya. MalaysiaGazette















