Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Foto SADIQ SANI, 16 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) akan menganjurkan Konvensyen Rakyat pada 27 Jun ini untuk membahaskan isu-isu rakyat dan menyediakan penyelesaian yang bermakna untuk rakyat demi menjamin masa depan yang lebih bermaruah.

Sekretariat IPR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, konvensyen di ibu negara itu akan melibatkan seramai 1,200 perwakilan yang akan memberi fokus kepada ekonomi rakyat, politik dan tadbir urus dan integrasi nasional.

Terdahulu, katanya, seramai 12 anggota IPR mengadakan mesyuarat hari ini yang dipengerusikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, perbincangan itu tertumpu kepada pelbagai cabaran yang semakin meruncing termasuk tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan halatuju ekonomi negara, sehinggalah kepada kegagalan kerajaan membina perpaduan nasional yang tulen dan kestabilan politik negara dan mematikan suara demokrasi rakyat.

“IPR merasai denyutan nadi rakyat yang hilang keyakinan terhadap keupayaan kerajaan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan dan peluang pekerjaan yang berkemahiran untuk graduan dan anak muda.

“Kegagalan kerajaan hari ini membuka ruang kepada satu gagasan baru dan wadah penyatuan politik yang segar untuk membangunkan semula Malaysia yang makmur dan sejahtera untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast