KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan bagi melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA); Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) peringkat Sijil, Asasi dan Diploma Sesi Akademik 2026/2027 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan 22 Mei ini ((Jumaat).
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, keputusan itu boleh disemak bermula pukul 12 tengah hari hingga pukul 5 petang 31 Mei melalui platform atas talian di pautan https://upu.mohe.gov.my dan menerusi aplikasi Mobile UPUPocket dan Mobile MyGov di telefon pintar.
Katanya, pengesahan setuju terima tawaran boleh dibuat bermula 23 hingga 31 Mei 2026 di laman web UA, IPTA dan MARA BPT.
Tambahnya, surat tawaran rasmi akan dikeluarkan UA, IPTA dan MARA BPT kepada yang berjaya mulai 23 Mei 2026 setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.
“Hanya pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline® di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 22 Mei 2026, jam 12 tengah hari sehingga 31 Mei 2026, jam 5.00 petang.
“Rayuan ke Kolej Komuniti (KK) boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline®,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2026/2027 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian UA, IPTA dan MARA BPT tidak dibenarkan.
Jelasnya, dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan. – MalaysiaGazette
















