Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara bagi tahun 2026 -2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 07 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Segala kritikan terhadap UMNO dalam polemik politik yang menghimpit Negeri Sembilan mungkin tercetus kerana akar umbi Pakatan Harapan (PH) tidak memperoleh gambaran jelas mengenai pendirian sebenar UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pimpinan tertinggi parti-parti komponen dalam PH sebenarnya memahami keseluruhan isu berkenaan termasuk keputusan dan pendirian yang diambil oleh UMNO.

“Saya telah perhatikan di kalangan pimpinan atasan parti-parti komponen dalam PH, mereka sangat memahami duduk perkara dalam isu ini.

“Dan saya teliti tiap-tiap ucapan mereka yang berucap dalam perhimpunan itu. Saya menghargai pemimpin-pemimpin utama parti-parti dalam PH di peringkat kesepakatan dan juga di peringkat negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kritikan terhadap UMNO yang kedengaran ketika ceramah perdana PH di Paroi, Seremban malam tadi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, reaksi berbeza di peringkat akar umbi kemungkinan berpunca daripada kekeliruan serta kurang kefahaman mengenai keputusan kerjasama politik yang dibuat antara parti-parti terlibat.

“Tapi di peringkat akar umbi itu saya faham perasaan mereka. Kerana mereka mungkin tidak dapat gambaran yang jelas tentang apa yang saya nyatakan dan apa pendirian yang dibuat oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Semalam, laungan “Tolak UMNO” bergema dalam satu ceramah PH di Paroi, Seremban selepas beberapa pemimpin gabungan itu selesai berucap, meskipun terdapat beberapa gesaan supaya penyokong bertenang.

Ratusan penyokong PH dilaporkan berhimpun berhampiran Stadium Tunku Abdul Rahman dengan sebahagian besar memakai pakaian parti masing-masing termasuk baju PKR berwarna biru putih tertera perkataan “Team Tok Min”, merujuk kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Antara pimpinan yang hadir dan berucap ialah Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan ceramah berkenaan dianjurkan khusus untuk kumpulan sasaran dalam kalangan parti-parti komponen PH dan ahli gabungan tersebut.

Beliau turut menegaskan tidak timbul isu sama ada UMNO dijemput atau sebaliknya ke program berkenaan.

“Majlis itu adalah anjuran oleh PH dan mereka telah memaklumkan kepada saya.

“Kumpulan sasarannya adalah kumpulan sasaran parti-parti dan ahli-ahli komponen dalam PH. Jadi bukan soal jemput atau tidak dijemput. Tapi kumpulan itu adalah kumpulan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak perlu melayan desakan Pemuda Pas Selangor supaya Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meletakkan jawatan susulan penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang baru-baru ini.

Katanya, Pas dilihat sering mengkritik kerajaan walaupun ketika berada dalam pentadbiran sebelum ini mereka juga tidak melakukan sesuatu yang lebih baik.

“Memang bagi parti berkenaan semua tak betul. Tetapi apabila mereka jadi sebahagian kerajaan mereka tidak melakukan pun sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dilakukan sekarang.

“Saya fikir kita tidak makan dengan ugutan. Jangan pedulilah apa pun pandangan itu. Namun kita harus lebih berhati-hati.

“Kita tangani isu ini dengan cara yang baik bukan dengan cara desakan dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai dilaporkan mendakwa penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 telah mencemarkan imej negara selain mengundang kemarahan rakyat terhadap Kerajaan Madani. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast