Kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan dan Ahli Palrimen Lumut, Komander Nordin Ahmad Ismail (kanan) keluar selepas mengadakan perjumpaan bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 18 NOVEMBER 2025. - Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Di saat beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digantung dan dipecat – Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan – dilihat ‘selamat’ apabila hanya dikenakan surat amaran oleh lembaga disiplin parti itu.

Tindakan itu sekali gus menimbulkan persoalan apabila Kalam tidak dikenakan hukuman lebih berat meskipun dikaitkan dengan kehadiran ke program RESET yang dianjurkan kem bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 15 Februari lalu.

Menurut sepucuk surat yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Maman, satu laporan bertulis diterima terhadap Kalam berkaitan dakwaan pelanggaran perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

“Adalah dimaklumkan bahawa Pihak Lembaga Disiplin telah menerima laporan bertulis mengenai pelanggaran perlembagaan parti Bersatu dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli yang melibatkan pihak YB dan satu notis tunjuk sebab yang telah diserahkan kepada YB bertarikh 29 April 2026,” menurut surat itu.

Bagaimanapun selepas siasatan dijalankan, Lembaga Disiplin Bersatu hanya memutuskan untuk mengeluarkan surat amaran kepada ahli Parlimen berkenaan sambil memberi peringatan bahawa tindakan lebih tegas boleh dikenakan jika kesalahan sama berulang.

Dalam perkembangan sama, Kalam menerusi surat respons kepada Lembaga Disiplin Bersatu turut memohon maaf berhubung kehadirannya ke program RESET dan menjelaskan beliau hadir atas kapasiti sebagai wakil rakyat yang mahu mendekati pelbagai lapisan masyarakat.

“Dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat, saya percaya bahawa keterbukaan untuk mendengar pandangan daripada pelbagai pihak adalah penting dalam memastikan perkhidmatan yang lebih berkesan dan menyeluruh dapat diberikan kepada rakyat,” katanya dalam surat penjelasan bertarikh 5 Mei lalu.

Kalam turut memberi jaminan kesetiaan dan komitmennya kepada Bersatu tidak pernah berbelah bahagi selain akan lebih berhati-hati dalam setiap tindakan serta penglibatan pada masa hadapan.

“Saya dengan penuh rendah diri ingin memberi jaminan bahawa saya akan terus berhati-hati dalam setiap tindakan dan penglibatan saya pada masa hadapan serta memastikan segala perkara yang dilakukan adalah selaras dengan kehendak dan garis panduan parti.

“Saya juga sentiasa terbuka untuk menerima teguran, nasihat dan pandangan daripada pihak kepimpinan demi penambahbaikan diri,” katanya.

Terdahulu, Bersatu bertindak menggantung empat ahli Parlimen dari partinya berkuat kuasa serta-merta susulan didakwa melanggar perlembagaan dan kod etika parti.

Mereka yang dikenakan tindakan ialah Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast