Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB), Tan Mei Phing berucap pada majlis MyCEB Association Day 2026 di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2026.

PETALING JAYA – Industri acara perniagaan terus memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan kemajuan pengetahuan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Tan Mei Phing berkata, acara persidangan dan konvensyen antarabangsa bukan sahaja menjana nilai ekonomi tetapi juga memudahkan pertukaran idea, teknologi dan kepakaran yang memberi manfaat kepada industri dan komuniti di Malaysia.

Katanya, dalam ekosistem itu, persatuan berfungsi sebagai pemboleh yang berkuasa di mana banyak acara global didorong oleh rangkaian kumpulan dan kepimpinan mereka berperanan penting dalam menarik perhimpunan berprestij ke negara ini.

“Melalui Hari Persatuan MyCEB, kami berhasrat untuk menyediakan platform yang bermakna untuk pemimpin persatuan berhubung, bertukar pandangan dan meneroka peluang baharu untuk membawa lebih banyak acara antarabangsa ke negara kita.

“Salah satu inisiatif utama yang membuktikan kerjasama ini ialah Program Kesatria Malaysia yang mengiktiraf pemimpin industri cemerlang yang memperjuangkan nama Malaysia di pentas global.

“Duta-duta ini memainkan peranan penting dalam mengenal pasti peluang dan menerajui bidaan yang berjaya untuk persidangan dan kongres antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Hari Persatuan MyCEB 2026 di sini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB), Tan Mei Phing (kiri) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot (tengah) dan Presiden Malaysian Society of Association Executives, Prof. Datin Dr. Lydia Abdul Latif (kanan) bergambar selepas majlis MyCEB Association Day 2026 di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2026.

Menurut Mei Phing, Program Kesatria Malaysia berjaya menjana kira-kira RM1.74 bilion impak kepada ekonomi negara.

Jelas beliau, program tersebut menyumbang kepada 111 acara perniagaan antarabangsa dan telah menarik lebih 135,000 perwakilan sekali gus memberi sumbangan besar kepada kemakmuran Malaysia.

Sehubungan itu, MyCEB katanya, akan meneruskan tradisi mengiktiraf dan memperkasakan pemimpin yang bakal mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam arena acara perniagaan global.

Hari Persatuan MyCEB 2026 yang sudah memasuki edisi kelima sejak diperkenalkan pada 2022, bertemakan ”Mengurus tadbir dengan tujuan. Memimpin dengan impak”.

Tema tahun ini memberi fokus kepada  kepentingan tadbir urus yang kukuh dan kepimpinan berteraskan matlamat bagi memastikan persatuan kekal relevan, berdaya tahan dan mampu memberikan nilai jangka panjang kepada ahli serta pihak berkepentingan.

Dianjurkan bersama Malaysia Society of Association Executives (MSAE), program sehari penuh itu menampilkan perbincangan panel dan sesi perkongsian ilmu yang memfokuskan amalan tadbir urus, strategi kepimpinan serta pendekatan untuk meningkatkan impak dan kelestarian persatuan dalam persekitaran global yang semakin berkembang.

Peserta turut mendapat manfaat daripada peluang jaringan profesional yang bernilai, sekali gus memupuk hubungan bermakna dan potensi kerjasama.

Peserta yang hadir pada majlis MyCEB Association Day 2026 di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2026.

Menurut Mei Phing, di MyCEB, mereka kekal komited untuk memajukan industri itu melalui perkongsian yang kukuh, penglibatan industri yang aktif dan inisiatif inovasi.

“Seperti Program MyTripleE 3.0 di bawah kempen “Meet In Malaysia“, ia direka untuk menyokong penganjur dalam menyampaikan acara yang berimpak dan sedia untuk masa hadapan.

“Inisiatif-inisiatif ini termasuk sokongan acara untuk meningkatkan penyampaian dan kejayaan serta  pemasaran dan promosi untuk meningkatkan keterlihatan global.

“Selain itu, inisiatif lain adalah integrasi kemampanan dan teknologi selaras dengan jangkaan industri yang berkembang dan akses kepada budaya Malaysia yang meriah dan tempat-tempat bertaraf dunia.

“Ia turut melibatkan penjajaran strategik Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026-2027 untuk memaksimumkan jangkauan antarabangsa,” katanya.

Mei Phing memberitahu, peranan acara perniagaan menjadi semakin penting dalam menarik pelawat antarabangsa bernilai tinggi ketika MyCEB memajukan agenda TMM.

Ini kerana ia dapat mengukuhkan rangkaian global dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi yang berdaya saing di pentas dunia. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast