GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menegaskan tiada unsur penyelewengan dalam pelaksanaan program baucar peralatan nelayan bernilai RM500,000 walaupun lapan pembekal tampil membuat laporan polis berhubung kelewatan bayaran tuntutan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Datuk Rashidi Zinol berkata, isu berbangkit sebenarnya berpunca daripada proses teknikal dan prosedur melibatkan beberapa agensi berkaitan.
Menurutnya, daripada keseluruhan peruntukan program itu, sebanyak RM293,000 sudah dijelaskan kepada syarikat terbabit manakala baki RM207,000 kini dalam proses pembayaran.
“Baki bayaran membabitkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pejabat Pembangunan Negeri (BPEN). Dana berkenaan baru dipulangkan kepada BPEN dan proses pembayaran sedang dilakukan,” katanya hari ini.
Tambah Rashidi, enam daripada lapan syarikat perniagaan terbabit dijangka menerima bayaran terlebih dahulu kerana sudah melengkapkan dokumen diperlukan.
“Manakala dua lagi syarikat masih perlu memenuhi beberapa syarat termasuk berkaitan pelesenan dan dokumentasi sebelum bayaran boleh diproses.
“Saya juga sudah melantik pegawai khas termasuk individu yang pernah terbabit dalam pentadbiran exco sebelum ini untuk membantu syarikat melengkapkan dokumen.
“Kebanyakan isu dokumentasi sudah selesai dan kita jangka pembayaran kepada syarikat yang lengkap dokumen dapat dimuktamadkan minggu depan,” katanya. – MalaysiaGazette
















