SHAH ALAM – Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes solat Jumaat dan azan di sebuah Surau Taman Seraya, Ampang, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, buat masa ini, pihaknya sedang menunggu arahan selanjutnya.
“Kami menunggu tindakan pihak pendakwaan.
“Masih lagi seorang suspek, sudah dijamin,” katanya ketika sidang media di Mes Pegawai IPK Selangor, hari ini.
Minggu lalu, Shazeli berkata, lelaki yang ditahan susulan bantahan pelaksanaan solat Jumaat dan azan di Surau Taman Seraya, Ampang bertindak secara individu dan tidak dipengaruh oleh pihak luar.
Jelasnya, siasatan awal mendapati antara ketidakpuasan hati lelaki berusia 46 tahun itu adalah kesesakan lalu lintas akibat solat Jumaat.
Lelaki itu ditahan kawasan Pandan Indah kira-kira jam 3 petang, Ahad lalu. – MalaysiaGazette
















