Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan sebanyak 186 tren tambahan melibatkan Perkhidmatan ETS dan EMUPlus sempena sambutan Hari Raya Aidiladha serta musim cuti persekolahan bagi tempoh 22 Mei hingga 7 Jun ini, dalam usaha menampung peningkatan permintaan penumpang.

Penyediaan tren tambahan itu melibatkan kapasiti keseluruhan sebanyak 58,380 tempat duduk bagi menampung peningkatan permintaan penumpang sepanjang tempoh sambutan perayaan dan cuti persekolahan.

Antara laluan perkhidmatan yang disediakan adalah KL Sentral-Ipoh-KL Sentral; KL Sentral-Butterworth-KL Sentral;KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral; KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral dan Klang-Ipoh-Klang (EMU Plus).

Tiket bagi perkhidmatan tren tambahan itu akan mula dijual jam 12 tengah hari esok, dan orang ramai boleh mendapatkan tiket melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB serta kiosk tiket KTMB di stesen-stesen terpilih.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, KTMB menerima maklum balas yang amat positif daripada orang ramai terhadap perkhidmatan tren tambahan yang disediakan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, khususnya melibatkan laluan berpermintaan tinggi seperti sektor Johor Bahru.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan menerusi kempen ‘Road to Rail’ turut menunjukkan impak yang memberangsangkan dalam menggalakkan rakyat beralih kepada penggunaan pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan kereta api yang lebih selamat, selesa dan efisien.

“Peningkatan permintaan ini mencerminkan keyakinan penumpang yang semakin tinggi terhadap mutu perkhidmatan rel negara” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, KTMB sebelum ini turut mengumumkan pembukaan jualan tiket tren khas Ekspres Lambaian Aidiladha ke Pantai Timur pada 24 April lalu bagi memenuhi keperluan rakyat pulang ke kampung halaman.

Perkhidmatan khas tersebut melibatkan dua perjalanan tren khas dengan jumlah keseluruhan sebanyak 912 tiket ditawarkan.

Sehingga kini, sebanyak 447 tiket telahberjaya terjual sekali gus menunjukkan sambutan positif daripada pengguna terhadap perkhidmatan khas yang disediakan.

Dalam masa sama, sebagai tawaran istimewa kepada pengguna sektor Pantai Timur, KTMB turut menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus bagi tren ELA 1029 dari Tumpat ke KL Sentral untuk kategori tempat duduk Superior Seater melibatkan 274 tempat duduk terhad mulai 11 Mei ini jam 10 pagi, dengan harga tiket serendah RM56 selepas diskaun berbanding tambang asal RM80.

Orang ramai disaran untuk membuat merancang perjalanan dan pembelian awal melalui aplikasi KTMB Mobile, KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau kios tiket di stesen terpilih.

Para pengguna juga disarankan untuk tiba awal di stesen bagi urusan dokumentasi di pintu masuk. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast