KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan memperluaskan usaha penukaran status tanah daripada pegangan pajakan (leasehold) kepada pegangan bebas (freehold) di kawasan bandar lama sekitar ibu negara selepas kejayaan pelaksanaannya di Taman Segar, Cheras.
Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, kejayaan itu membuktikan kerajaan mempunyai kuasa dan kemampuan untuk menyelesaikan isu yang sekian lama membelenggu penduduk bandar sekiranya wujud keberanian politik.
Menurut beliau, penduduk di kawasan seperti Taman Maluri, Kampung Baru, flat serta penempatan bandar lama di Kuala Lumpur masih berdepan ketidakpastian akibat status tanah leasehold yang menghampiri pelbagai implikasi ekonomi dan sosial kepada generasi akan datang.
“Penduduk telah membayar cukai, membina komuniti dan membangunkan Kuala Lumpur bersama kerajaan sejak puluhan tahun namun ramai kini mula merasakan mereka hanyalah penumpang sementara di tanah yang didiami sejak berdekad lamanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu tidak boleh terus dibiarkan kerana pembangunan bandar yang terlalu berpaksikan keuntungan akan menyebabkan rakyat asal bandar semakin terpinggir daripada ibu kota sendiri.
Katanya, rakyat bandar kini berhadapan pelbagai tekanan termasuk kenaikan kos sara hidup, pembangunan semula, manipulasi nilai hartanah serta kebimbangan kehilangan hak milik keluarga.
“Status leasehold yang tidak ditangani dengan baik membuka ruang kepada pengambilalihan agresif oleh pemaju besar sehingga rakyat asal sedikit demi sedikit tersingkir dari Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kerajaan supaya semangat Malaysia Madani tidak sekadar menjadi slogan semata-mata sebaliknya diterjemahkan melalui dasar tanah dan perumahan bandar yang lebih adil serta berteraskan rakyat.
Menurutnya, hak terhadap harta dan kediaman adalah perkara penting yang dijamin di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan mempunyai tanggungjawab melindungi rakyat daripada tekanan pembangunan tidak seimbang.
Beliau turut menggesa ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan supaya lebih lantang membawa suara rakyat berhubung isu pemilikan tanah dan masa depan kediaman warga kota.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan mencadangkan penubuhan Taskforce Khas Status Tanah Bandar Wilayah Persekutuan melibatkan Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, wakil penduduk serta pakar perancangan bandar.
Selain itu, mereka turut mencadangkan semakan menyeluruh terhadap status leasehold kawasan bandar matang termasuk Taman Maluri, Kampung Baru, Cheras dan kawasan flat lama selain moratorium terhadap pengusiran tidak langsung akibat pembangunan semula bandar.
“Tahniah kepada Menteri Wilayah Persekutuan atas langkah di Taman Segar. Kini rakyat di seluruh Wilayah Persekutuan menunggu bukti bahawa kerajaan benar-benar mahu membawa keadilan kepada seluruh warga kota,” katanya. – MalaysiaGazette

















Kali ini baru nampak perubahan sikap pemuda Pas memperjuangkan hak keistimewaan orang melayu dan bumiputera sepatutnya tuntutan diperluaskan ke seluruh negeri negeri di Malaysia bukan hanya tertumpu di WP sahaja..Selangor merupakan negeri utama yg terlalu banyak berstatus LEASE HOLD