Sebuah kereta dihempap pokok tumbang di Batu 10 Jalan Gombak, hari ini. - Foto: Sumber media sosial

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas kereta yang dipandunya dihempap pokok tumbang selepas hujan lebat di Batu 10, Jalan Gombak dekat sini hari ini.

Mengesahkan perkara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis berkata lelaki berusia 27 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Jelasnya, lelaki itu sempat keluar daripada keretanya sebelum pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 1.56 tengah hari.

“Setibanya di lokasi, didapati sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta dengan cara melintangi jalan. Kerja pembersihan dilakukan menggunakan gergaji berantai sebelum pokok berjaya dialihkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.33 tengah hari.

“Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Selayang bersama jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 19 kilometer,” ujarnya.

Anggota bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi unsur berbahaya yang boleh mengancam keselamatan orang awam.

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, sebuah kereta dihempap pokok tumbang di Batu 10, Jalan Gombak. Kejadian dipercayai berlaku susulan hujan lebat dan berterusan sejak tengah hari tadi.

Akibat kejadian, laluan kedua-dua arah di jalan itu terhalang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast