Tanah runtuh di Kampung Bukit Sungai Putih, Ampang, Selangor . Foto JBPM Selangor

KUALA LUMPUR – Penduduk sebuah rumah di Kampung Bukit Sungai Putih, Ampang dekat sini berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah berhampiran kediaman mereka akibat hujan lebat petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 2.17 petang.

Susulan itu seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang bersama sebuah jentera FRT dikejarkan ke lokasi dengan jarak kira-kira empat kilometer.

“Komander operasi melaporkan terdapat runtuhan tanah dengan jarak kira-kira empat kaki dari kawasan rumah terbabit. Kesemua penghuni rumah diarahkan keluar sebagai langkah keselamatan dan anggota turut menjalankan pemantauan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada sebarang kemerbahayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini

Tambah beliau, pihak bomba turut memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts. Hasrolnizam Shaari hari ini turun padang meninjau kejadian pergerakan tanah di kawasan berkenaan.

MPAJ dalam kenyataan memaklumkan, Hasrolnizam bergegas ke lokasi kira-kira 6 petang bagi mendapatkan maklumat lanjut serta meninjau keadaan semasa di kawasan kejadian.

“Skuad PANTAS MPAJ turut hadir sejurus menerima laporan untuk melaksanakan tindakan awal dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar sentiasa terpelihara,” katanya.

Jelasnya, orang ramai yang ingin membuat aduan kecemasan atau memerlukan bantuan boleh menghubungi Skuad PANTAS MPAJ di talian 03-4285 7333. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast