KUANTAN – Dua sahabat maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh tiang elektrik dalam kejadian di jalan besar Jengka 12, Maran kira-kira jam 10 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa lelaki itu dalam perjalanan dari arah Jengka 13 menghala ke Bandar Pusat Jengka.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila pemandu kereta jenis Perodua Axia itu hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik di lokasi terbabit,”katanya dalam kenyataan.
Berikutan rempuhan itu, Mohamad Arif Danial Ramli, 23 yang merupakan pemandu kereta terbabit dan rakannya, Mohamad Ali Mohamed Saat, 31 dikatakan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Wong memaklumkan, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tujuan bedah siasat kira-kira jam 3 pagi tadi.
Justeru, beliau menyeru mana-mana pihak yang menyaksikan kemalangan itu atau mempunyai apa-apa maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















