KUANTAN – Kemeriahan acara Larian Sawah Kampung Padang edisi kedua tahun ini berjaya meraih hampir 800 penyertaan dari pelbagai peringkat umur.
Manakan tidak, peserta ditawarkan pengalaman mengujakan iaitu berlari melalui bendang sawah di persekitaran kampung dengan kebebasan memakai pakaian tradisi selain kostum pilihan hati.
Ketika ditemui, salah seorang peserta, Tengku Rosmaini Tengku Ali, 41 berkata, dia merebut peluang untuk melakukan aktiviti sihat dan menyeronokkan sambil memakai sepersalinan sari bersama tiga rakan-rakannya.
“Baju ni sebenarnya untuk program makan malam sebelum ini yang bertema Bollywood. Alang-alang dah ada, pakai baju ni sahajalah.
“Program ini best sebab memang suasana kampung, memang seronok. Tadi ada juga cuba naik beca dan mengail dekat ‘check point‘ larian. Memang kita orang naik dan bawa sekali lah (beca) tadi sebab awal-awal sampai tadi tak ramai lagi orang. Jadi, cepatlah boleh cuba,” katanya.

Menurut Tengku Rosmaini, dia dan rakan-rakan pertama kali menyertai acara Larian Sawah ini dan berpendapat pengalaman itu sangat unik.
Dia yang merupakan kakitangan kerajaan mahu program seperti itu terus diadakan setiap tahun dan berharap lebih banyak aktiviti disediakan untuk peserta.
Sementara itu, bagi Noripah Mat, 45, pula, pengalaman lari di kawasan sawah padi yang berair dan terdapat lintah pasti tidak dapat dilupakannya.
“Itu first time saya (sertai larian sawah). Saya tak tengok bawah. Kalau takut (lintah) memang tak boleh lalu situ sebab air naik dekat atas jalan. Memang adventure.
“Satu pengalaman memang seronok dan tak tergambar. Kalau ada lagi program ni tahun depan pun saya akan sertai. Memang best,” katanya.

Larian Sawah Kampung Padang 2.0 kali kedua dianjurkan oleh Dr Sport di kawasan sawah padi di sini bermula sekitar jam 7.30 pagi tadi sepanjang jajaran jalan kampung sejauh lima kilometer.
Menurut wakilnya, Datuk Rosmi Mohamad, pihaknya memberi fokus untuk menyediakan program yang boleh memanfaatkan komuniti beriadah bersama keluarga dalam persekitaran yang unik dan lain dari yang lain.
“Peserta datang daripada Pulau Pinang, Kedah, Johor, Kelantan dan kebanyakannya dari Pahang. Tahun lepas kita ada dari Jepun.
“Idea ni datang selepas memerhati acara-acara larian lain yang dianjurkan. Tapi tak banyak bagi peserta yang baru nak berjinak-jinak dengan larian. Jadi, saya ambil inisiatif untuk cari komuniti ini dan cari tempat macam ni di sawah padi dan persekitaran kampung,” katanya.

Tidak terhenti pada acara Larian Sawah, orang ramai juga boleh menyertai Sawit Run di Selancar, Rompin pula yang akan dianjurkan pihaknya minggu hadapan.
Tambah Rosmi, dia gembira dan teruja dengan sambutan menggalakkan daripada orang awam dan merancang mengadakan banyak lagi program seperti itu pada masa hadapan. – MalaysiaGazette
















