KUALA LUMPUR – Dalam usaha menangani peningkatan isu gejala sosial dan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja, seramai 19 mahasiswa daripada Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban menganjurkan Program Remaja Holistik di Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER).
Program berbentuk kesukarelawanan dan khidmat masyarakat ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi memberi pendedahan kepada golongan remaja tentang cabaran semasa berkaitan aspek sosial, emosi dan pendidikan seksual.
Program Remaja Holistik diwujudkan susulan kebimbangan terhadap peningkatan masalah sosial dalam kalangan remaja yang semakin kerap dilaporkan.
Selain itu, perkembangan teknologi dan pengaruh media sosial yang tidak terkawal turut dikenalpasti sebagai faktor yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak serta pergaulan bebas dalam kalangan remaja masa kini.
Program itu bukan sekadar memberi pendedahan, tetapi turut melibatkan pelajar dalam sesi interaktif bagi membantu para pelajar memahami cabaran alam remaja dan cara mengurus kehidupan dengan lebih positif melalui tiga modul utama: Perkembangan Diri Remaja, Kesihatan Mental dan Emosi Remaja, serta Seksualiti Remaja.
Sukarelawan yang terdiri daripada ahli Kelab Prime Mover UiTM dilatih khas oleh LPKKN dan ISM.
Mereka diberi pendedahan mendalam tentang kesihatan mental dan pendidikan seksual, agar dapat menyampaikan mesej dengan jelas dan berkesan kepada pelajar.
Menurut Pengarah Projek, Mohamad NurHakim Azmi, program tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada remaja tentang kepentingan mempunyai pengetahuan berkaitan perhubungan sosial, kesihatan mental dan emosi serta pendidikan seksual.
“Program ini juga memberi panduan kepada remaja tentang langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial selain membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan fokus terhadap matlamat hidup,” katanya.
Penasihat program, Khairolizwan Harry berkata, penglibatan mahasiswa dalam program kesukarelawanan seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah membantu meningkatkan kemahiran insaniah pelajar universiti.
“Program ini mampu memupuk semangat kerjasama, komunikasi dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa selain melahirkan sukarelawan yang lebih prihatin terhadap isu semasa melibatkan remaja,” ujarnya.
Melalui pelaksanaan Program Remaja Holistik 2026, Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban berharap usaha berterusan ini dapat membantu melahirkan generasi muda yang lebih berdaya tahan, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan secara sihat dan positif.
















