KUANTAN – Kerajaan negeri sentiasa komited memastikan setiap sumber hasil negeri diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi pulangan terbaik kepada negeri dan rakyat.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelulusan eksport pasir sungai dapat pertimbangan sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kutipan hasil negeri dapat terus ditingkatkan.
“Berdasarkan anggaran semasa, stok pasir di Sungai Pahang berpotensi menjana hasil sekitar RM500 juta yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan pembangunan negeri termasuk pembangunan kawasan luar bandar, perumahan rakyat, pendidikan, kesihatan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan di bawah program Inisiatif Makmur Pahang.
“Pada masa sama, aktiviti pengorekan pasir yang dilaksanakan secara terkawal turut memberi manfaat kepada aspek pengurusan sungai dengan membantu mendalamkan sungai, melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir khususnya ketika musim tengkujuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi tujuan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi membincangkan perkara tersebut secara menyeluruh.
Beliau berharap ia dapat diberi pertimbangan secara positif demi mencari penyelesaian yang terbaik serta memberi manfaat kepada semua pihak khususnya kepada negeri Pahang. – MalaysiaGazette
















