TELUK BAHANG – Seorang pemandu traktor ditemukan maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke lereng bukit di Jalan Teluk Bahang di sini, hari ini.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja pertanian sebelum traktor berkenaan hilang kawalan lalu jatuh ke cerun kira-kira 15 meter sekali gus menyebabkan dia tersepit di dalam kenderaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 petang sebelum sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dikerahkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian, kita dapati sebuah traktor terjatuh ke cerun dan terdapat seorang lelaki berusia 49 tahun tersepit.
“Pasukan kemudian menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas dengan memakai PPE lengkap.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri sebelum pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.11 petang. – MalaysiaGazette
















