KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam insiden tular melibatkan dakwaan cubaan samun berhampiran Elmina Lakeside Mall, sebaliknya kes disiasat dari sudut kemalangan jalan raya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kedua-dua pihak terlibat hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Khamis kira-kira pukul 10.30 malam bagi dirakam percakapan oleh pegawai penyiasat.
Menurut beliau, hasil keterangan yang diperoleh mendapati terdapat percanggahan antara kedua-dua pemandu mengenai punca kejadian.
“Pemandu Perodua Bezza mendakwa kenderaannya dilanggar dari arah belakang ketika sedang parkir di bahu jalan.
“Bagaimanapun, pemandu Perodua Myvi pula mendakwa Bezza yang berada di hadapannya telah mengundur sehingga menyebabkan pelanggaran berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, pemandu Myvi bertindak mengejar kenderaan terbabit bagi membincangkan mengenai kemalangan berkenaan.
Sehubungan itu, polis menegaskan siasatan mendapati insiden tersebut tidak mempunyai sebarang elemen jenayah seperti yang didakwa di media sosial. – MalaysiaGazette
















