100 penghantar makanan dan pekerja gig economy di DUN Sungai Kandis dipilih sebagai ‘rider angkat’ bagi menerima bantuan servis motosikal percuma serta sokongan barangan dapur selama tiga bulan

SHAH ALAM – Seramai 100 penghantar makanan dan pekerja gig economy di DUN Sungai Kandis dipilih sebagai ‘rider angkat’ bagi menerima bantuan servis motosikal percuma serta sokongan barangan dapur selama tiga bulan.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai usaha membantu meringankan beban golongan pekerja gig yang berdepan tekanan kos sara hidup semakin meningkat.

Menurut beliau, kebanyakan rider bekerja siang dan malam demi menyara keluarga namun kebajikan mereka sering terlepas pandang walaupun memainkan peranan penting dalam ekonomi harian masyarakat.

“Golongan rider ini antara anak muda yang kuat bekerja dan sanggup berpanas serta berhujan demi mencari rezeki halal sebab itu saya mengambil keputusan untuk menjadikan 100 rider di DUN Sungai Kandis sebagai rider angkat dengan bantuan servis motosikal percuma dan sokongan barangan dapur selama tiga bulan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, walaupun bantuan tersebut mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak namun ia membawa makna besar kepada mereka yang bergantung sepenuhnya kepada motosikal untuk bekerja setiap hari.

Katanya, kerosakan motosikal atau peningkatan kos penyelenggaraan boleh menjejaskan pendapatan harian rider dan memberi kesan langsung kepada kehidupan keluarga mereka.

“Kadang-kadang kos tukar tayar, minyak hitam atau kerosakan kecil pun sudah cukup membebankan rider. Jadi kita cuba bantu setakat kemampuan supaya mereka dapat terus bekerja dengan lebih tenang dan selamat,” katanya.

Danish mahu memastikan golongan belia di Sungai Kandis tidak berasa dipinggirkan atau berjuang bersendirian dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Menurutnya, pendekatan turun padang dan membantu rakyat secara terus perlu diteruskan berbanding sekadar retorik politik.

“Bagi saya, kebajikan rakyat perlu dimulakan dengan tindakan dan bukan hanya bercakap. Selagi ada kudrat dan kemampuan, saya akan terus bersama rakyat serta menjaga kebajikan anak muda di DUN Sungai Kandis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast