Pengasas Musyawarah Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika majlis Musyawarah Nasional di hotel Premiera Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 MEI 2026

KUALA LUMPUR – Musyawarah Nasional akan didaftarkan sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) supaya dapat menjadi wadah yang tersusun, sah, berwibawa dan berterusan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia mesti menjadi gerakan jangka masa panjang yang mengadakan perbincangan secara konsisten.

“Sekretariat Musyawarah Nasional hendaklah segera mendaftarkannya sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan di bawah Pendaftaran Pertubuhan  Malaysia (RoS).

“Musyawarah Nasional ini bukan milik mana-mana individu, kelompok atau parti. Ia mesti menjadi milik semua yang ikhlas mahu melihat bangsa ini berdiri dengan lebih yakin, lebih bermaruah dan lebih tersusun untuk berjaya membangun bangsa di tanah airnya sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutupan Musyawarah Nasional Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya? di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga pengasas musyawarah tersebut memberi jaminan pembentangan dan cadangan hari ini akan didokumenkan sebagai rumusan secara rasmi.

Beliau mengarahkan Sekretariat Musyawarah Nasional mengambil tindakan segera demi memastikan setiap perkara yang dibentangkan hari ini diterjemahkan menjadi pelan pelaksanaan yang lebih jelas.

“Cadangan yang melibatkan kementerian, agensi dan institusi kerajaan hendaklah disusun sebagai syor kerajaan untuk dikemukakan kepada pihak berkaitan,” tambahnya.

Jelasnya,  teras hendaklah membentuk jawatankuasa tindakan bagi memperincikan cadangan kepada pelan pelaksanaan yang lebih jelas.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, terdapat empat persoalan besar yang menjadi keresahan Melayu pada hari ini.

Ia adalah keresahan terhadap asas Perlembagaan yang menyentuh isu sensitiviti termasuk agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu, kelangsungan hidup iaitu ekonomi Melayu Bumiptera, keadilan sistem dan perlindungan dan kestabilan.

Ia bertitik tolak daripada empat teras yang dibentangkan iaitu isu sensitiviti: isu pemilikan ekonomi, medan pendidikan dan bakat masa depan dan medan sosial, budaya, bahasa dan perpaduan nasional.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast