Pengasas Musyawarah Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bergambar bersama perserta yang hadir selepas selesai majlis Musyawarah Nasional di hotel Premiera Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 MEI 2026

KUALA LUMPUR – Musyawarah Nasional bukan untuk menyemarakkan ketakutan, mencetuskan perbalahan dan menuding jari mencari kesalahan.

Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia diadakan atas kesedaran bahawa keresahan bangsa tidak boleh dibiarkan menjadi keluhan dan perlu digerakkan dalam satu bentuk tindakan.

“Inilah tujuan Musyawarah Nasional yang saya hasratkan. Bukan sekadar untuk berbicara tentang masalah bangsa tetapi untuk menyusun semula kekuatannya. Bukan sekadar mengulang keresahan tetapi merumuskan penyelesaian dipandu oleh akal, adab dan akhlak.

“Bukan sekadar untuk bertanya apa yang telah hilang tetapi untuk menentukan apa yang mesti kita bangunkan semula. Keresahan ini tidak boleh dibiarkan berlegar di media sosial, menjadi perbualan di warung kopi atau terus tersimpan dalam ruang tertutup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Musyawarah Nasional Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya? di sini hari ini.

Pengasas Musyawarah Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika majlis Musyawarah Nasional di hotel Premiera Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 MEI 2026

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengasas Musyawarah Nasional, antara keresahan rakyat yang tidak boleh dipandang ringan adalah tentang anak muda yang mencari ruang pekerjaan, kebimbangan ibu bapa yang memikirkan kelangsungan kehidupan dan keperitan usahawan kecil yang bertarung mempertahankan perniagaan dan persoalan besar tentang hala tuju bangsa.

Jelasnya, keresahan-keresahan tersebut tidak boleh dijadikan sebagai pencetus kebencian dan modal politik sempit sebaliknya perlu diurus berasaskan ilmu.

Sehubungan itu beliau yang juga Presiden UMNO mahu musyawarah yang diadakan pada hari ini menjadi Makmal Pemikir Bangsa.

“Sebuah ruang untuk kita membedah keresahan orang Melayu, menguji fakta, memisahkan persepsi daripada realiti dan merumuskan tindakan.

“Di makmal ini, kita tidak datang sekadar membawa keluhan. Kita datang membawa akal, data, pengalaman dan keberanian untuk mencari penawar kepada penyakit bangsa,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast