KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 ekor gajah diselamatkan selepas dipercayai terperangkap di dalam sebuah kolam air terbiar berhampiran Hutan Simpan Deramakot di Ladang FGV Cepat Ringgit B, Kinabatangan baru-baru ini.
Jabatan Hidupan Liar (JHL) daerah itu berkata, kejadian berlaku apabila sekumpulan gajah itu dipercayai memasuki kolam terbiar yang tebingnya curam dan licin.
Katanya, operasi menyelamat semua gajah dilakukan dengan membentuk laluan keluar yang lebih landai dan selamat bagi membolehkan kesemua gajah terbabit keluar dari kawasan kolam tersebut.
“Hasil tindakan pantas dan kerjasama semua pihak, kesemua 11 ekor gajah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, JHL merakamkan penghargaan kepada semua individu yang terlibat termasuk pekerja ladang yang menyalurkan maklumat awal sehingga operasi menyelamat dapat dijalankan dengan segera.
Menurutnya, kerjasama antara agensi kerajaan, pihak ladang dan masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan serta pemuliharaan hidupan liar terus terpelihara di Sabah.
“Setiap tindakan kecil dan laporan awal daripada orang awam mampu memberi impak besar dalam usaha melindungi spesies ikonik Sabah untuk generasi akan datang,” katanya.-MalaysiaGazette
















