Mohd Kamal Ulum Morsin

JOHOR BAHRU – Terdapat pemimpin parti yang mahu jadi calon akan muncul setiap kali menjelang pilihan raya negeri (PRN) tetapi ‘lesap’ selepas itu.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kulai, Mohd Kamal Ulum Morsin berkata, rakyat perlu sedar kemunculan pemimpin seperti ini yang disifatkan bermusim.

“Rakyat Johor dah boleh baca permainan macam ni. Datang musim PRN, sibuk tunjuk muka sana sini. Lepas habis pilihan raya, lesap. Tinggallah rakyat dengan masalah yang sama.

“Sebab itu rakyat kena bezakan antara orang yang betul-betul bekerja dengan orang yang hidup atas politik persepsi dan populariti murahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas hantaran Ketua Armada Bersatu Johor, Alias Rasman dalam Facebook miliknya memuat naik foto pemimpin UMNO dan Pakatan Harapan (PH) selepas sidang DUN Khamis lalu yang kelihatan mesra.

Sebelum itu DUN Johor meluluskan usul lantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan keputusan itu mendapat tentangan ADUN PH.

“Alaa…maaflah Pemuda UMNO Johor. Yang beria gaduh di bawah ni kamu aje. Yang di atas kamu sana tu semuanya nampak tenang, relax dan mesra je dengan DAP,” tulis Alias.

Mohd Kamal mendakwa ‘permainan’ itu kerap dimainkan dalam media sosial sedangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak kedengaran suara pemimpin mereka dan begitu juga tidak turun di peringkat kawasan.

“Yang ada cuma budaya menyerang, memfitnah dan menanam kebencian demi kepentingan politik sendiri,” katanya.

Johor katanya, perlukan politik matang dan pemimpin yang bekerja, bukan watak bermusim yang muncul lima tahun sekali.

“Modal dia cuma menunggang isu dan menghasut rakyat supaya nampak kononnya dialah paling bersih dan paling berani. Hakikatnya, bila masuk gelanggang sebenar untuk berkhidmat kepada rakyat, bayang pun susah nampak,” katanya.

Tegasnya, UMNO tidak pernah takut kritikan namun apabila politik dimainkan dengan fitnah dan drama murahan, rakyat memang wajib nampak siapa sebenarnya individu terbabit.

“Dari dulu sampai sekarang, yang dia pandai hanyalah cari perhatian dan bermain sentimen. Bila dekat pilihan raya, tiba-tiba jadi jaguh kampung. Bila rakyat perlukan bantuan dan suara perjuangan, ghaib entah ke mana.

“Kalau betul dia pejuang rakyat, mana hasil kerja dia? Mana jasa yang rakyat boleh ingat? Setakat buat video, petik gambar sana sini dan hentam orang lain dalam ceramah, itu bukan kerja pemimpin. Pemimpin ni dinilai melalui tindakan, bukan lakonan politik semata-mata,” ujarnya.

Tambahnya, apa yang lebih memalukan, pihak berkenaan hanya cuba membina nama dengan menyerang UMNO kerana didakwa tidak mempunyai kekuatan politik yang sebenar.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast