PEKAN – Datuk Abdul Khalib Abdullah menerima keputusan penggantungan keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan hati terbuka namun mendakwa parti itu kini semakin hilang arah perjuangan asal.
Menurut beliau, surat penggantungan sebagai ahli Bersatu diterimanya pada petang Jumaat lepas dan beliau telah menjangkakan tindakan tersebut akan dikenakan terhadap dirinya serta beberapa lagi rakan dalam parti.
“Tetapi ada juga antara kami yang hanya diberikan amaran oleh Lembaga Disiplin parti. Kalau UMNO, parti besar yang sudah 80 tahun, boleh membuka ruang kepada perdamaian demi kebaikan parti mereka, ia jauh berbeza dgn parti Bersatu yang berusia lapan tahun tapi memecat begitu ramai pemimpin parti yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti,”katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.
Abdul Khalib mendakwa Bersatu telah memecat enam ahli Parlimen selain menggantung tujuh individu manakala tiga lagi diberikan amaran dan tiga masih menunggu keputusan.
Katanya, tindakan disiplin itu turut melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, setiausaha bahagian dan ahli jawatankuasa bahagian.
“Kegilaan apa ini. Belum pernah berlaku dalam sejarah mana-mana parti politik di Malaysia,” katanya.
Beliau turut mendakwa Bersatu kini lebih cenderung kepada pemusatan kuasa dan tidak lagi berpaksikan prinsip perjuangan asal parti.
“Saya melihat Bersatu sudah mula hilang arah. Pemimpin tidak boleh ditegur dan pada pandangan saya terdapat kumpulan tertentu yang cuba menguasai parti serta sentiasa memberi khabar gembira kepada presiden parti,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Khalib mengakui beliau sering dikaitkan dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan menyatakan keyakinannya terhadap perjuangan yang dibawa pemimpin tersebut.
“Saya yakin dengan perjuangan yang dibawa oleh Datuk Seri Hamzah yang berteraskan perjuangan demi rakyat bukan sekadar ingin berkuasa semata-mata,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, komitmennya untuk terus bersama Perikatan Nasional dan meneruskan khidmat kepada rakyat di Rompin.
Katanya, beliau akan terus bekerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Nazri Ahmad dalam membantu masyarakat setempat.
“Penggantungan saya tidak langsung melemahkan semangat untuk terus berjuang dan berkhidmat kepada rakyat Rompin,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, Abdul Khalib memberi bayangan bahawa kumpulan yang dikenakan tindakan disiplin akan terus bangkit dalam parti.
“Tunggulah kebangkitan kami. Kami akan mara dengan angkatan yang lebih besar dan terus menjadi benteng rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















