SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor sedia untuk menggerakkan usaha bagi membubarkan Dewan Negeri Selangor kerana sudah hilang kemuliaan susulan penghinaan pemimpin DAP terhadap Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi di negeri itu.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, tiada makna jika Dewan Negeri Selangor diteruskan sekiranya kerajaan negeri mempertahankan wakil rakyat DAP, Wong Siew Ki yang menyanggah titah dan teguran Sultan Selangor.
“Kita juga bergerak ke arah itu (desak bubar) kerana kita lihat akhirnya Dewan Negeri Selangor itu tidak berfungsi dengan kemuliaan yang sewajarnya.
“Mereka patut tahu peranan Dewan Negeri Selangor itu sangat besar kemuliaannya. Kerana itu datang Tuanku merasmikan, baca titahnya, sepatutnya dihormati kemuliaan itu dengan menjaga titah Tuanku.
“Tapi boleh berlaku penolakan terhadap Dekri Diraja, titah Tuanku. Sepatutnya wakil rakyat, menjunjung kasih dan mendukung titah Tuanku,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.
Sukri menyifatkan tindakan Siew Ki yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan yang menyanggah titah Sultan Selangor berhubung larangan penternakan babi di negeri itu sebagai penolakan halus.
“Berani sebut ampun Tuanku. Dia berbeza pandangan sekian-sekian. Ini biadab. Ini bukan perbahasan isu ladang babi yang dibawa dalam sidang Dewan Negeri. Tiba-tiba dalam titah Tuanku Sultan itu ditimbulkan,” katanya.
Selain itu, Sukri juga mencadangkan kepada Sultan Selangor agar menghalang DAP daripada menjadi wakil rakyat sama ada Ahli Dewan Negeri mahupun ahli Parlimen di negeri itu.
“Langkah itu bagi memastikan keamanan di Selangor, DAP tidak boleh lagi menjadi wakil rakyat sama ada Ahli Dewan Negeri ataupun ahli Parlimen.
“Ini kerana di mana tempat ada DAP, di situ ada kekacauan bagi saya, menimbulkan kekacauan.
“Bermula daripada apa yang ditimbulkan di Dewan Negeri tu, rentetan tu berlaku banyak perkara penghinaan kepada Tuanku Sultan Selangor,” katanya.
Katanya lagi, tindakan wakil rakyat itu bukan sahaja menghina Sultan Selangor, bahkan ia juga mengguris hati orang Melayu Islam secara langsung.
“Ini kerana baginda payung bagi rakyat dan simbol kepada agama Islam bagi negeri ini dan penjaga bagi agama Islam.
“Jadi, kalaulah mereka sangka mereka hanya menghina Tuanku Sultan Selangor, mereka tak sedar, sebenarnya mereka menghina umat Islam di Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















