KUANTAN – Isu pengeluaran pasir di Sungai Pahang perlu difahami secara ilmiah dan teknikal serta tidak dijadikan bahan politik yang boleh mengelirukan rakyat.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, kerja pengeluaran pasir merupakan sebahagian daripada usaha pengurusan sungai bagi mengurangkan risiko banjir, mengawal hakisan tebing serta mengatasi masalah sungai menjadi semakin cetek akibat timbunan pasir.
Menurutnya, Sungai Pahang kini mengalami keadaan cetek di beberapa kawasan susulan mendapan pasir semula jadi yang berlaku sejak sekian lama.
“Keadaan sungai yang semakin cetek menyebabkan aliran air menjadi perlahan dan meningkatkan risiko banjir termasuk di kawasan Pekan yang turut berdepan situasi air lambat surut kerana muara sungai semakin cetek.
“Keadaan muara yang semakin cetek menyukarkan aliran air keluar ke laut sekali gus memanjangkan tempoh surut banjir dan memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Kamil berkata, ramai rakyat di negeri ini bergantung kepada Sungai Pahang sebagai sumber ekonomi termasuk dalam sektor perikanan, pengangkutan air dan aktiviti ekonomi kecil di tebing sungai.
Katanya, nelayan di kawasan muara turut terkesan apabila terpaksa menunggu air pasang untuk keluar dan masuk ke laut disebabkan keadaan muara yang terlalu cetek.
“Pengurusan dan pengeluaran pasir secara terkawal adalah antara langkah untuk memulihkan kedalaman sungai dan melancarkan semula aliran air demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Kamil berkata, dakwaan isu mendapan pasir berpunca semata-mata daripada aktiviti pembalakan adalah tidak tepat kerana proses mendapan turut berlaku secara semula jadi hasil proses geografi jangka panjang.
Tambah beliau, pasir yang dikeluarkan juga boleh dimanfaatkan secara sah untuk menjana hasil negeri selaras dengan prinsip pengurusan sumber yang lebih lestari.
Beliau turut menegaskan, kerajaan negeri komited terhadap pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan yang seimbang dengan keperluan rakyat.
Menurutnya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah terus menunjukkan komitmen dalam agenda pemuliharaan alam sekitar negeri menerusi penubuhan Hassanal Wildlife Reserve serta kempen kesedaran alam sekitar termasuk gerakan Go Green.
“Usaha ini telah menyumbang kepada peningkatan kestabilan kualiti kawasan hutan negeri dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ia membuktikan negeri Pahang mengamalkan pendekatan seimbang antara pembangunan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat secara berterusan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu teknikal seperti pengurusan sungai sebaliknya memberi ruang kepada pendekatan berasaskan fakta dan ilmu.
Tambah Mohd Kamil, rakyat memerlukan penyelesaian kepada isu banjir, sungai yang semakin cetek dan gangguan ekonomi sungai, bukan polemik yang menambah kekeliruan.
Dalam masa sama, beliau turut memohon pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memantau mana-mana akaun media sosial yang didakwa sengaja menyebarkan kebencian, memutarbelit fakta serta memainkan isu sensitif termasuk elemen 3R berkaitan isu tersebut.
“Tindakan tegas dan sekeras-kerasnya wajar diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menimbulkan kegusaran awam serta menggugat keharmonian masyarakat melalui penyebaran maklumat tidak sahih.
“Kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan sehingga menjadi alat mencetuskan kebencian dan ketegangan dalam masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
















