KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan pemecatan keahlian Ketua Armada Bahagian Parit, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan disiplin tersebut diputuskan oleh Lembaga Disiplin parti selepas mendapati Wan Meor Safwat melanggar perlembagaan serta kod etika parti.
Menurut notis pemecatan yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, keputusan itu dibuat di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti.
“Pihak Lembaga Disiplin telah bersidang dan memutuskan bahawa tuan dipecat hak-hak keahlian atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Fasal 9.1.4 dalam Perlembagaan Bersatu secara umumnya menyentuh mengenai kewajipan setiap ahli untuk patuh kepada arahan parti serta menjaga disiplin dan nama baik organisasi,” menurut kenyataan itu.
Notis berkenaan turut menegaskan pemecatan tersebut adalah berkuat kuasa serta-merta mengikut tarikh surat dikeluarkan.
Walau bagaimanapun, Wan Meor Safwat masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti untuk pertimbangan semula dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis diterima.
Setakat ini, pihak kepimpinan tertinggi Bersatu mahupun Armada Nasional masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung punca khusus yang membawa kepada tindakan drastik tersebut di peringkat Bahagian Parit. – MalaysiaGazette
















