Ahli Sekretariat Nadi Gemilang Amal, Dzul Hilmi Zainol (kiri) bercakap kepada wartawan ketika sidang media bagi menggesa PDRM menyiasat Yusoff Rawther sebagai agen Mossad di hadapan Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 18 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Kelompok penyokong Datuk Seri Rafizi Ramli didakwa menjadi dalang utama kepada aktiviti ‘memperkudakan’ Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) selepas tular kenyataan golongan itu telah hilang kepercayaan terhadap PKR di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Exco AMK Malaysia, Dzul Hilmi Zainol, perkara itu dilihat mempunyai kaitan rapat dengan corak serta naratif yang dimainkan kebelakangan ini sehingga sukar menolak kemungkinan tindakan berkenaan didorong kelompok penyokong Rafizi yang semakin agresif mengkritik kedudukan Anwar selaku Presiden PKR.

“Ini kerana gerakan ini nampak terancang dan sedang membina persepsi kononnya wujud gelombang penolakan akar umbi terhadap Presiden dan kepimpinan parti.

“Sedangkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha MKM menafikan dan menyelar kenyataan yang dikeluarkan tanpa nama dan tidak diputuskan melalui saluran organisasi yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dzul Hilmi berkata, tindakan memperalatkan platform mahasiswa demi agenda politik kelompok tertentu amat mengecewakan.

Katanya, tindakan memperalatkan mahasiswa demi agenda politik kelompok tertentu amat dikesali kerana mahasiswa tidak sepatutnya dijadikan alat politik dendam atau kempen simpati.

“Jika benar mereka ikhlas memperjuangkan reformasi, maka budaya tidak merhormati organisasi serta memainkan naratif serangan melalui propaganda media bukanlah jalannya.

“Ini hanya mengesahkan bahawa ada kelompok yang lebih sibuk menjaga kepentingan kem sendiri berbanding memperkukuh perjuangan rakyat dan kestabilan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, MKM menafikan satu kenyataan media yang tular hari ini sebagai pendirian rasmi organisasi itu sambil menegaskan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agung MKM, Aqeef Salih berkata, kenyataan berkenaan tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan menerusi saluran rasmi organisasi, sebaliknya dipercayai dikeluarkan oleh beberapa individu tertentu yang mempunyai agenda tersendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast