Rosol Wahid
Rosol Wahid

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengesahkan beliau tidak akan mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menggantung keahliannya selama dua penggal.

Rosol berkata, beliau telah menerima surat pemakluman penggantungan daripada Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Radzi Manan bertarikh 29 April yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.

“Saya tidak akan mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan penggantungan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Rosol antara lima ahli Parlimen Bersatu yang digantung selain Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Khalib Abdullah (Rompin), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), dan Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh).

Mengikut Fasal 22.5, mereka yang dikenakan tindakan penggantungan keahlian bagi tempoh dua penggal pemilihan parti adalah atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Bagaimanapun, dalam nada sinis, Rosol turut mempertikaikan kredibiliti Lembaga Disiplin Bersatu yang didakwanya semakin hilang ketelusan serta gagal memisahkan fungsi siasatan, pendakwaan dan keputusan hukuman.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persepsi berat sebelah selain mencetuskan persoalan terhadap keadilan proses disiplin dalam parti.

“Ini berikutan Lembaga Disiplin dilihat semakin hilang kredibiliti kerana entiti yang sama menyiasat, membuat tuduhan, mendakwa dan menjatuhkan hukuman,” katanya.

Dalam pada itu, Rosol mengakui Bersatu banyak memberi peluang dan sumbangan dalam perjalanan politiknya, namun beliau melihat terdapat beberapa perkembangan dalam parti yang semakin menyimpang daripada asas perjuangan asal.

“Saya juga menyuarakan pandangan bahawa semangat ‘Amar Makruf dan Nahi Mungkar’ yang menjadi asas perjuangan parti dilihat semakin terhakis dalam beberapa keadaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast