KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) menumpaskan sindiket penyeludupan dadah, mata wang ringgit dan minuman keras bernilai RM1.19 juta pada April lalu.
Pengarah Kastam LTAKL, Zulkifli Muhammad berkata, ia melibatkan cubaan penyeludupan matawang ringgit bernilai RM129,500 pada 2 April lalu di Bangunan Satelit, Ruang Pelepasan Pintu Antarabangsa Terminal 1 LTAKL oleh seorang pengembara warga Indonesia.
Kes kedua, katanya, rampasan minuman keras pelbagai jenama 17,043.60 liter bernilai RM221,566.80 serta yang membabitkan nilai kehilangan duti dan cukai kepada Kerajaan sebanyak RM430,835.64 pada 23 April.

Jelasnya, modus operandi (MO) sindiket tersebut adalah menyimpan dan menyembunyikan minuman keras tak berkastam di kawasan industri di Seri Kembangan dekat sini bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.
Kes seludup mata wang disiasat di bawah Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiyaan Keganasan (AMLATFPUAA)2001 manakala kes kedua disiasat dibawah Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiyaan Keganasan (AMLATFPUAA)2001.
Tambah beliau, kes ketiga dan keempat masing-masing melibatkan rampasan seludup dadah ke luar negara oleh tiga individu di Pintu Pelepasan Antarabangsa Terminal 1.

Menurut beliau, serbuan berasingan pihaknya berjaya merampas dadah jenis ketamin berjumlah RM405,775.
“Pada 24 April pukul 9.20 pagi, seorang lelaki warganegara Malaysia (Orang Yang Disyaki – OYDS) ditahan semasa hendak menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Hong Kong.
“Hasil imbasan terhadap bagasi yang dibawanya, mendapati imej yang mencurigakan disyaki dadah berbahaya.
“Semasa pemeriksaan lanjut dilaksanakan ke atas kandungan bagasi milik OYDS, pasukan telah menemukan disyaki dadah jenis ketamin dengan berat kasar 3.6719 kilogram (kg) bernilai RM183,595.00.
“Pada 27 April 2026 lebih kurang 5.17 petang, Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM LTAKL dengan kerjasama Pihak Berkuasa Penerbangan (AVSEC), Malaysia Airports KLIA telah menahan dua orang individu wanita warganegara Malaysia di Pintu Pelepasan Antarabangsa Terminal 1, KLIA semasa hendak menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Taipei, Taiwan.
“Hasil imbasan terhadap bagasi yang dibawa oleh kedua dua OYDS, mendapati imej yang mencurigakan disyaki dadah berbahaya.berat kasar 4.4836 kg yang bernilai RM224,180.00,” katanya lagi.
Katanya, penyeludupan dadah itu dikenal pasti menggunakan handcarry luggage sebagai MO untuk tujuan mengedar dadah berbahaya bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
















