Mohd Hisham Harun

MAKKAH – Seramai 22,711 orang jemaah haji daripada 74 penerbangan telah berada di Makkah setakat jam 10 pagi waktu tempatan, hari ini, kira-kira 15 hari lagi menjelang hari wukuf.

Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji, Mohd Hisham Harun berkata, operasi haji bagi minggu keempat berjalan lancar hasil kerjasama pelbagai pihak.

“Semua jemaah yang berada di Tanah Suci kini secara keseluruhannya telah berada di Makkah selepas rombongan jemaah muassasah terakhir di Madinah iaitu KT033 tiba di Makkah, Sabtu lalu.

“Satu penerbangan lagi iaitu KT076 dijadualkan akan berlepas menuju Lapangan Terbang Raja Abdulaziz, Jeddah hari ini dan dijangka tiba pada malam nanti, katanya pada taklimat minggu hari ini.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengingatkan jemaah supaya terus menjaga kesihatan diri memandangkan cuaca dijangka menjadi lebih panas menjelang hari wukuf nanti.

“Jemaah haji dinasihatkan minum air secukupnya, menggunakan payung ketika berada di luar bangunan penginapan semasa cuaca terik dan mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan risiko tekanan haba.

“Peringatan berulang juga kita berikan kepada seluruh jemaah haji untuk fokus kepada ibadah, simpan tenaga dan kekalkan tahap kesihatan yang baik kerana misi utama kita adalah untuk berwukuf di Arafah,” katanya pada taklimat mingguan hari ini.

Mohd Hisham berkata, nasihat ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW di dalam riwayat Imam Al-Tirmizi, “Al-Hajju ‘Arafah” yang bermaksud “Haji itu adalah (wukuf di) Arafah”.

“Ini merupakan rukun haji yang paling utama yang menentukan sahnya ibadah haji seseorang itu.

“Sebab itu, kita tidak mahu ada mana-mana jemaah yang terlepas ibadah penting ini yang menyebabkan hajinya tidak sempurna atau tidak sah,” ujarnya.

Ekoran cuaca yang semakin panas di Makkah, Mohd Hisham berkata, jemaah haji digalakkan menunaikan solat subuh, maghrib dan isyak di Masjidil Haram manakala solat zohor dan asar di surau di maktab masing-masing.

Mengulas lanjut, katanya, setakat ini 15 orang jemaah Malaysia sedang dirawat di hospital akibat komplikasi pernafasan dan serangan jantung.

Jumlah itu termasuk seorang jemaah yang selamat menjalani pembedahan pintas jantung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast