IS 2025 menampilkan sebelas kategori anugerah individu.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) memperkukuh komitmennya dalam memperkasa agenda pembangunan mahasiswa apabila menganjurkan Anugerah Ikon Siswa (AIS) 2025.

Ia merupakan sebuah acara berprestij yang menjadi medan tertinggi pengiktirafan terhadap kecemerlangan, kepimpinan, sahsiah unggul dan keupayaan mahasiswa dalam mencorak perubahan yang signifikan kepada universiti, masyarakat serta negara.

Bertemakan “Mengangkat Keunggulan Mahasiswa Idaman”, penganjuran AIS 2025
menjadi manifestasi iltizam berterusan UMT dalam membina ekosistem pembangunan mahasiswa yang holistik, progresif dan berimpak tinggi.

Majlis itu bukan sekadar pentas meraikan kejayaan, bahkan menjadi simbol penghormatan terhadap lahirnya generasi pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja ampuh dari sudut intelektual, malah teguh nilai jati diri, luhur pekerti serta memiliki daya fikir strategik dalam mendepani cabaran dunia yang semakin kompleks.

Majlis yang berlangsung penuh gemilang di Dewan Sultan Mizan UMT itu menghimpunkan barisan mahasiswa terbaik universiti yang telah mempamerkan pencapaian cemerlang sepanjang sesi akademik 2024–2025.

AIS 2025 menampilkan sebelas kategori anugerah individu yang merangkumi pelbagai kluster kecemerlangan termasuk kepimpinan, seni dan warisan, kesukarelawanan, sukan
dan rekreasi, wira bicara, khidmat komuniti, daya usaha dan inovasi, perpaduan,
inklusif, kelestarian serta usahawan siswa.

Turut dipertandingkan empat kategori anugerah berpasukan iaitu Anak Negeri Terbaik, Akademik Terbaik, Sukarelawan Terbaik dan Sosial Terbaik.

Lebih bermakna, majlis turut mengetengahkan tiga pengiktirafan utama iaitu Anugerah Tokoh Siswa UMT 2025, Anugerah U and Me Together Naib Canselor serta Anugerah Bingkas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) sebagai penghormatan tertinggi kepada mahasiswa yang benar-benar menyerlah sebagai ikon universiti dan inspirasi kepada seluruh warga kampus.

Muhammad Zaki Anuar dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Ikon Siswa 2025.

Majlis telah disempurnakan oleh Hirman Awang, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi yang dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran AIS merupakan platform strategik dalam menyerlahkan potensi mahasiswa sebagai aset penting pembangunan negara.

Menurut beliau, pengiktirafan seumpama ini bukan sahaja meraikan pencapaian, malah menjadi wahana membina keyakinan, menyemai aspirasi dan memacu semangat mahasiswa untuk terus melangkah lebih jauh dalam mencipta kecemerlangan yang
berterusan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Hirman Awang @ Semail, bersama barisan pengurusan tertinggi universiti serta para pemimpin mahasiswa.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain menyifatkan AIS 2025 sebagai manifestasi penghargaan universiti terhadap mahasiswa holistik yang bukan sahaja mencapai kecemerlangan akademik, malah unggul dalam kepimpinan, menyerlah dalam aktiviti kemahasiswaan dan mempunyai komitmen tinggi terhadap agenda pembangunan komuniti.

Menurut beliau, calon-calon akhir AIS 2025 merupakan kelompok mahasiswa luar biasa yang memiliki keseimbangan antara kecerdasan intelektual, kematangan emosi, keunggulan sahsiah dan keberanian memimpin perubahan.

Beliau turut menegaskan bahawa para pemenang bakal membawa nama universiti ke peringkat lebih tinggi menerusi penyertaan dalam Anugerah Tokoh Siswa anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi, sekali gus memperkukuh reputasi UMT sebagai institusi yang melahirkan graduan berkualiti, berdaya saing dan berimpak tinggi.

Foto Ihsan UMT.

Kemuncak majlis menyaksikan Muhammad Zaki Anuar dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Ikon Siswa 2025, sekali gus mengangkat beliau sebagai lambang mahasiswa cemerlang yang menampilkan pakej lengkap kecerdasan minda, ketokohan kepimpinan, keunggulan sahsiah dan sumbangan bermakna kepada universiti serta masyarakat.

Menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut, Muhammad Zaki berkata kemenangan itu bukan sekadar penghormatan peribadi, sebaliknya amanah besar
yang perlu diterjemahkan melalui usaha berterusan untuk terus menyumbang kepada pembangunan mahasiswa dan masyarakat.

“Saya amat bersyukur atas pengiktirafan ini. Kemenangan ini bukan milik saya semata-mata, tetapi milik semua pihak yang sentiasa membimbing, mempercayai dan membuka ruang kepada saya untuk berkembang.

“UMT telah menyediakan platform yang luas untuk saya berkarya, mencetus idea, melaksanakan pelbagai aktiviti dan mengasah potensi diri sehingga mampu berdiri pada tahap ini.

“Ruang yang diberikan inilah yang membentuk keyakinan, keberanian serta semangat untuk terus menyumbang dengan lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan peluncuran beberapa inisiatif strategik universiti termasuk Program Berimpak Tinggi HEPA 2026, Portal Berita Suara Bingkas dan UMT-Samudera Idea Lab (UMT-SIL) sebagai wadah baharu dalam memperkasa suara mahasiswa, mencambah budaya inovasi serta menggerakkan pemikiran strategik warga kampus. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast