KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa semakin hilang arah dan roh perjuangan susulan siri tindakan penggantungan serta pemecatan terhadap beberapa pemimpin parti sejak kebelakangan ini.
Dakwaan itu dilontarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Terengganu, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi yang juga Ketua Pemuda Pas Dungun.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau menyifatkan kemelut dalaman parti itu sebagai usaha menyingkirkan pemimpin tertentu demi kelangsungan kuasa dalam parti.
“Disembelih satu-satu pemimpin untuk terus berkuasa. Parti yang namanya Bersatu sekarang hanya tinggal parti yang sudah tiada roh,” katanya.
Dalam masa sama, Tengku Fakhruddin turut memberi bayangan supaya Bersatu mempertimbangkan untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) sekiranya krisis dalaman terus berpanjangan.
“Kalau dah macam ni molek Bersatu keluar je dari PN hadirnya seperti bayang senja, hilang tanpa kesan, lenyap tanpa bekas,” katanya lagi.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan Lembaga Disiplin Bersatu yang dikenakan terhadap beberapa Ahli Parlimen dan pemimpin parti sejak beberapa minggu lalu.
Antara yang dikenakan tindakan ialah Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) serta Muhammad Ishauddin (Mersing).
Selain itu, turut digantung ialah ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man; ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain; serta ADUN Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar.
Dalam perkembangan berkaitan Jumaat lalu, Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat dan menggantung beberapa lagi pemimpin termasuk ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani; ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Ketua Bahagian Hulu Langat, Muhammad Faiz Rahmad; serta ADUN Kok Lanas, Mohamaed Farid Mohamed Zawawi.
Tindakan berterusan itu dilihat terus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pimpinan parti dan pemerhati politik yang mengikuti perkembangan dalaman Bersatu. – MalaysiaGazette
















