KUALA LUMPUR – Budaya berbalas pantun kini dilihat menjadi “senjata” baharu pemimpin politik untuk menyindir lawan mahupun sekutu serta menyampaikan mesej tersirat ketika suhu politik negara semakin panas.
Terbaharu, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin memuat naik pantun dipercayai menyentuh soal kuasa dan kedudukan politik semasa.
“Ramai orang membela rusa,
Rusa dibela di tepi gua,
Usah dibuai dengan kuasa,
Sampai masa ke tanah jua,” tulisnya menerusi hantaran di media sosial.

Langkah menyindir menggunakan keratan pantun turut digerakkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pantun empat kerat beliau sebelum ini turut mencetuskan perhatian apabila dilihat mempunyai nada sinis terhadap situasi politik semasa Bersatu.
“Anak Cina pergi ke pekan,
Singgah sebentar membeli lokan,
Kalau pemimpin sibuk berebut jawatan,
Rakyat akhirnya jadi korban,” tulis Samsuri dalam satu hantaran di Facebook beliau.
Pantun tersebut dimuat naik ketika Bersatu sedang bergelut dengan krisis dalaman susulan tindakan pemecatan dan penggantungan beberapa wakil rakyat serta pemimpin parti sejak kebelakangan ini.
Antaranya adalah Muhammad Islahuddin (Mersing), Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Khlir Mohd Nor (Ketereh).
Turut digantung ialah ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man, ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain dan ADUN Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar.
Jumaat lalu, Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat dan menggantung beberapa lagi pemimpin termasuk ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani, ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis, Ketua Bahagian Hulu Langat, Muhammad Faiz Rahmad serta ADUN Kok Lanas, Mohamaed Farid Mohamed Zawawi. – MalaysiaGazette
















