KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini membebaskan penceramah Fathi Na’im tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan merogol seorang remaja 14 tahun, lima tahun lalu.
Hakim Tasnim Abu Bakar memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh atau nama sebenarnya Muhammad Fathi Na’im Mazlam.
Fathi Na’im, 34, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di antara pukul 2 pagi dan 10 pagi, 3 Disember 2021 di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini.
Tertuduh yang ketika itu bapa lapan anak, dihadapkan ke mahkamah pada 1 Disember 2022 mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Tasnim yang menyampaikan keputusan itu berkata, sewaktu perbicaraan, mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi (impeachment) terhadap mangsa yang juga saksi pendakwaan ketiga (SP3).
“Mahkamah berpuas hati, keterangan mangsa (dalam kes ini) adalah tidak menyakinkan kerana ia bercanggah dengan keterangan remaja itu ketika menjadi saksi dalam kes berlainan di Mahkamah Sesyen Klang.
“Mahkamah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan, hujahan lisan dan hujahan bertulis serta kes-kes otoriti yang dikemukakan termasuk Seksyen 18 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Akta Saksi Keterangan Kanak-Kanak 2024.
“Mahkamah berpuas hati, penjelasan SP3 semasa prosiding `impeachment‘ dan keterangan dalam perbicaraan kes ini tidak dapat diketegorikan sebagai menyakinkan,” ujarnya.
Hakim berkata, selepas meneliti keterangan 11 orang saksi pendakwaan, mahkamah berpuas hati keterangannya tidak boleh dipercayai.
Mangsa merupakan remaja sama dalam kes di Mahkamah Sesyen Klang yang mana Fathi Na’im, menghadapi sembilan pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks dengan objek.
Daripada sembilan pertuduhan itu, Hakim Noridah Adam (yang bersidang di Kuala Lumpur) menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan pertuduhan merogol mangsa berlainan berusia 13 tahun, lima tahun lalu.
Perbicaraan masih belum dimulakan bagi enam lagi kes.
Ketika menyampaikan keputusan itu pada 18 September tahun lalu, Noridah menolak permohonan Fathi Na’im untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, permohonan untuk penangguhan hukuman dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Klang, beberapa bulan lalu.
Di hadapan Noridah, Fathi Na’im dibicarakan atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja itu dalam sebuah kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam pada Jun 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.
Bagi dua pertuduhan, dia didakwa merogol seorang remaja 13 tahun itu dalam sebuah kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam pada jam 3 dan 7 petang, awal Julai dan 27 Julai 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Pervinah Mohamad Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Ashraff Mohd. Diah. – MalaysiaGazette
















