LANGKAWI – Pesawat latihan milik sebuah syarikat swasta melakukan pendaratan cemas di Stadium LADA, Kuah di sini, hari ini selepas dipercayai mengalami masalah enjin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.27 pagi itu, pesawat jenis Diamond 40 TDI berjaya didaratkan dengan selamat oleh juruterbang bersama seorang kadet.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada penyelia menara Kawalan Trafik Udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAB) pada jam 10.35 pagi.
“Hasil siasatan mendapati penerbangan latihan bermula dari LTAB Langkawi pada jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi untuk penerbangan pertama.
“Penerbangan kedua pula bermula pada jam 9.40 pagi dari LTAB bagi tujuan latihan penerbangan di sekitar Pulau Langkawi.
“Ketika berada di ruang udara Kuah kira-kira jam 10.20 pagi, kapten pesawat merasakan terdapat masalah kuasa pada enjin pesawat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kapten pesawat kemudian memaklumkan perkara itu kepada menara kawalan sebelum mencari lokasi selamat untuk melakukan pendaratan kecemasan.
“Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati roda hadapan pesawat patah semasa pendaratan dilakukan di Padang B, Stadium LADA.
“Tiada kemalangan jiwa dan kedua-dua individu dalam pesawat itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tambah beliau, pasukan siasatan Kementerian Pengangkutan (MOT) turut hadir ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette
















