Buruh warga asing ditahan disyaki merogol remaja perempuan 17 tahun di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Tawau, Sabah kelmarin.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol selepas pulang dari menghadiri kenduri kahwin di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Tawau, Sabah kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan itu seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an ditahan pukul 12.10 tengah malam di hadapan perumahan pekerja di Brumas.

“Kita telah menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada bapa tiri mangsa pukul 12.55 tengah malam Isnin selepas dimaklumkan oleh anak tirinya bahawa dia menjadi mangsa serangan seksual oleh seorang lelaki yang dikenali.

“Siasatan awal mendapati mangsa mendakwa ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri satu majlis kenduri kahwin, dia ditahan dan ditarik masuk ke dalam rumah suspek sebelum bertindak menutup mulut mangsa menggunakan kain dan merogolnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Jasmin, susulan itu sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai bersama anggota Polis Bantuan Sabah Softwood Berhad melancarkan operasi mengesan suspek yang bekerja sebagai buruh.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk pakaian dan tilam yang dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast