P. Waytha Moorthy.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy mendakwa tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini cuba menjelaskan kenyataannya berhubung isu kuil Hindu yang didakwa ‘disalah tafsir’ hanyalah usaha mengawal kerosakan politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Dakwa beliau, masyarakat India telah lama berdepan keresahan dan kemarahan susulan naratif yang menyentuh isu kuil Hindu sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap komuniti tersebut.

Katanya, sebagai Perdana Menteri sebuah negara majmuk, Anwar sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam menangani isu sensitif melibatkan rumah ibadat dan masyarakat minoriti.

“Selama berbulan-bulan masyarakat India menanggung keresahan, penghinaan dan tekanan akibat naratif yang dibawa berhubung kuil Hindu.

“Kerosakan itu nyata. Ketakutan itu nyata. Kemarahan dalam kalangan masyarakat India juga nyata,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Anwar ketika berucap pada program bersama pelajar India sempena acara Malaysian Indian Transformation Unit (MITRA) di Universiti Malaya mengakui sebahagian kenyataannya sebelum ini berkaitan isu kuil Hindu mungkin disalah tafsir.

Perdana Menteri turut menegaskan beliau tidak berniat mencetuskan permusuhan terhadap masyarakat Hindu selain menyifatkan isu berkenaan antara perkara paling sukar ditangani kerana melibatkan sensitiviti agama dan kaum.

Mengulas lanjut, Waytha Moorthy berkata, masyarakat India kini mempersoalkan mengapa penjelasan itu hanya dibuat selepas sokongan terhadap kerajaan didakwa semakin merosot.

“Di mana penjelasan ini ketika kuil-kuil Hindu dihentam dan dipersoalkan?

“Di mana keprihatinan itu ketika masyarakat Hindu diserang dan dipersenda di media sosial serta arena politik?

“Kenapa baru sekarang apabila pilihan raya semakin hampir?” soalnya.

Beliau turut mendakwa Anwar sering menggunakan pendekatan berbeza mengikut kelompok masyarakat yang dihadapi.

Katanya, apabila berdepan masyarakat India dan bukan Melayu, Perdana Menteri tampil dengan imej inklusif serta sederhana, namun realitinya berbeza apabila berhadapan kelompok lain.

“Anwar Ibrahim sudah lama dikenali sebagai pemimpin yang bercakap dalam nada berbeza kepada khalayak berbeza.

“Beliau memahami bahawa tanpa sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat India, masa depan politiknya berada dalam keadaan bahaya,” katanya.

Dalam pada itu, Waytha Moorthy mendakwa Perdana Menteri kini berada dalam kedudukan politik yang semakin tertekan selepas gagal memperoleh keyakinan penuh sebahagian besar pengundi Melayu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan Anwar cuba meraih semula sokongan masyarakat India dan Cina yang didakwa semakin kecewa terhadap pentadbirannya. – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast