KUALA LUMPUR – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun 30 sen kepada RM4.87 sen seliter bagi tempoh 14 hingga 20 Mei 2026 ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, ia berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.

RON95 pula turun 15 sen kepada RM3.87 seliter berbanding RM4.02 bagi tempoh yang sama. Harga RON97 turun 20 sen seliter kepada RM4.70 seliter.

Namun begitu, menurut MOF, harga bahan api kekal jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum konflik di Asia Barat.

Harga minyak mentah masih mencecah sekitar AS$100 setong berbanding sekitar AS$60 hingga AS$70 setong sebelum konflik.

Harga runcit bahan api turut dipengaruhi oleh lonjakan kos logistik dan insurans akibat peningkatan risiko di zon konflik.

Risiko gangguan laluan di Selat Hormuz juga terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global sekali gus mempengaruhi harga pasaran.

Dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu, Kerajaan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memanjangkan bekalan negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast