Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (dua kiri) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Agro Penjaja-i di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 13 MEI 2026.

PUTRAJAYA – Kerajaan sentiasa memantau jangkaan peningkatan harga makanan akibat kenaikan harga minyak yang dijangka akan mula dirasai dalam tempoh tiga bulan lagi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan sentiasa mencari strategi dan jalan terbaik bagi memastikan rakyat tidak terkesan.

“Daripada situ kita lihat apakah intervensi yang boleh diambil oleh kerajaan.

“Kementerian Ekonomi khasnya Kementerian Kewangan akan memerhati dan membuat tindakan segera bagaimana untuk merungankan bebanan rakyat kerana selepas tiga bulan kita yakin peniaga mula merasai kenaikan harga ini,” katanya Ketika ditemui pada majlis perasmian Agro Penjaja-i di sini hari ini.

Jelas beliau yang dikenali sebagai Mat Sabu, meskipun kenaikan harga makanan belum ketara namun rakyat tidak boleh selesa dan kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

“Sekarang ini kenaikan harga belum ketara melainkan pergi kedai mewah tetapi kita tidak boleh selesa kerana kita tidak tahu masalah ini (sampai bila) terutama bila berlaku kenaikan harga makanan ayam misalnya soya dan kacang hijau, maka akan berlaku perubahan harga.

“Kita akan pantau jika ada perubahan dan akan umum kepada media,” tambahnya.

Sementara itu, Mohamad menegaskan, bekalan beras dijangka cukup sehingga hujung tahun ini.

“Sayur pula berlaku lambakan, lebihan di Cameron Highlands (sampai) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terpaksa melakukan inisiatif membeli atau mencari penyelesaian,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast