PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu, Datuk Seri Abd Halim Aman menegaskan komitmen untuk terus memperkukuhkan usaha membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam negara.
Dalam amanat sulungnya, beliau merakamkan penghargaan atas kepercayaan dan amanah diberikan untuk menerajui SPRM serta menyeru seluruh warga suruhanjaya itu agar bersama-sama memikul tanggungjawab yang diamanahkan.
Menurutnya, amanah yang digalas bukan sahaja perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, malah menjadi satu ikrar yang wajib dikotakan oleh setiap warga SPRM.
“Cabaran, kekangan dan rintangan dalam melaksanakan tugas sememangnya tidak dapat dielakkan, namun ia perlu ditangani dengan kebijaksanaan serta berpandukan akta dan arahan ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan SPRM hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pengarah-pengarah Kanan dan Pengarah-pengarah Bahagian SPRM di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau tiba di Lobi C, Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 8.20 pagi disambut oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi; Pengarah-Pengarah Kanan dan Pengarah-pengarah Bahagian serta pegawai-pegawai kanan SPRM.
Beliau kemudian mengimbas kad pas dan meletakkan tapak tangan pada tablet sebagai simbolik pada Majlis Sambutan dan Mula Tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bermula hari ini.

Dalam pada itu, Abd Halim turut mengingatkan pegawai SPRM supaya mengelakkan sebarang unsur penganiayaan ketika menjalankan tugas dan sentiasa memperbaiki kelemahan sekiranya berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak.
Pada masa sama, beliau mengakui persepsi masyarakat terhadap SPRM tidak boleh diketepikan dan menegaskan bahawa setiap pegawai perlu menjalankan amanah dengan sebaik mungkin demi menjaga kredibiliti suruhanjaya itu.
Mengulas mengenai aspek penguatkuasaan, beliau berkata, siasatan dan pendakwaan perlu bergerak seiring bagi memastikan perjalanan kes yang dibawa ke mahkamah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan berkesan.
Katanya, antara pembaharuan yang akan diperkenalkan adalah memperkukuh penyelarasan antara bahagian siasatan dan pendakwaan SPRM bagi memudahkan urusan pegawai terlibat.
Dalam menghadapi kekangan pegawai siasatan, beliau turut menyarankan agar pengisian dalaman diperkasakan selain menekankan kepentingan pendidikan masyarakat berkaitan pencegahan rasuah diteruskan tanpa henti.
Sementara itu, dalam satu majlis berasingan yang diadakan di Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Bangunan Perdana Putra di sini semalam, Abd Halim menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM daripada Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Shamsul Azri dalam ucapannya berharap pelantikan itu dapat terus memperkukuh integriti serta tadbir urus negara selain mengajak seluruh warga SPRM bersama-sama memainkan peranan dalam menerajui Suruhanjaya berkenaan. – MalaysiaGazette
















