Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi ceramahnya yang didakwa menyentuh peribadi sahabat Nabi Muhammad SAW.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook dan platform X hari ini, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu mengakui beliau kurang cermat ketika mengolah maklumat serta menyampaikan kenyataan terbabit.

“Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut.

“Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya.

Menurut Nik Muhammad Zawawi, beliau sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan Allah SWT.

Katanya, tujuan asal kenyataan itu hanyalah untuk menjelaskan kehebatan risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosiobudaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan lebih mulia dan berperadaban.

Beliau turut mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu berkenaan dan menegaskan ia merupakan kekhilafan peribadinya semata-mata.

“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mahupun kepimpinannya,” katanya lagi.

Nik Muhammad Zawawi turut berharap Allah SWT mengampunkan segala kekhilafannya serta menerima usaha semua pihak dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan.

Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Nik Muhammad Zawawi mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib yang mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.

Antara lain beliau mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang “bapa ceti” yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman jahiliyah.

Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.

Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast